Red Giants benam Harimau Selatan

Selangor berjaya menumpaskan Johor Darul Takzim 2-1 dalam saingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Larkin.

Selangor

Selangor hadir ke kandang Harimau Selatan dengan barisan pemain yang terkuat selepas tewas kepada Sai Gon Xuan Thanh dalam saingan Piala AFC minggu lepas.

Pasukan tuan rumah juga enggan terlepas peluang dalam Piala FA dan telah menurunkan Daniel Guiza dan Simone Del Nero yang beraksi dalam perlawanan terakhir mereka pada Sabtu malam.

Selangor tampak lebih berbahaya pada mula perlawanan dengan asakan bertubi-tubi ke atas benteng pertahanan Darul Takzim.

Asakan Red Giants membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Mahalli Jasuli mara dari kanan dan merembat masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-15 perlawanan.

Pada babak kedua, Safee Sali yang sudah pulih dari kecederaan masuk menggantikan rakan seperjuangan dalam Harimau Malaya, Norhsharul Idlan Talaha.

Pada minit ke-55, pemain pertahanan Selangor, Peter Chrappan dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Safee Sali di dalam kotak penalti dan seterusnya sepakan penalti diberikan kepada Darul Takzim.

Walaubagaimanapun, Norazlan cekap menyelamatkan sepakan penalti oleh Daniel Guiza dan tidak membenarkan pihak lawan menyamakan kedudukan.

Darul Takzim kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Irfan Ghani yang masuk pada babak kedua dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya dibuang padang pada minit ke-64.

Empat minit selepas itu Amri Yahyah meletakkan Selangor 2-0 di hadapan hasil hantaran Francis Forkey Doe.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti melakukan pertukaran pemain pada minit ke-71 apabila Shukur Jusoh masuk menggantikan K.Gurusamy.

10 minit kemudian, Chrappan sekali lagi menjatuhkan Safee kali ini di sebelah kiri dan sepakan penalti kedua diberikan kepada pasukan tuan rumah.

Safee berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu dengan baik dan mengurangkan kedudukan gol dengan Red Giants.

Beberapa minit selepas itu, Nurul Azwan Roya cuba untuk menjaringkan gol penyamaan namun pantas dihalang oleh Norazlan yang telah beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.



comments powered by Disqus

Berita Paling Popular

Perkembangan Lain