Darul Takzim bertemu Red Warriors di final

Johor Darul Takzim berjaya ke final Piala FA selepas menang kelebihan gol di tempat lawan dengan keputusan agregat 2-2 ke atas Pahang.

Piala FA: Pahang vs Darul Takzim

Pahang memulakan perlawanan dengan asakan meluru ke kubu pertahanan Darul Takzim.

Pemain import Pahang, Matias Conti meletakkan Pahang 1-0 di hadapan seawal minit ke-2 perlawanan hasil hantaran oleh Amirulhadi dari tengah sementara dia gagal dikawal oleh benteng pertahanan Harimau Selatan.

Sembilan minit selepas itu, Darul Takzim mendapat sepakan percuma namun percubaan Leonel Nunez yang menjaringkan gol tunggal pada perlawanan pertama, ditangkap kemas oleh penjaga gol Pahang.

Perlawanan semakin rancak apabila Norshahrul Idlan hampir menyumbat gol penyamaan pada minit ke-16 namun dia tidak berjaya menanduk bola ke gawang gol pihak lawan.

Jurulatih Darul Takzim melakukan perubahan pertama dalam pasukan pada minit ke-20 apabila Thanaraj masuk menggantikan Irfan.

Pahang terus mengasak dengan pemain tengah, Amirulhadi melakukan rembatan dari tengah pada minit ke-36 perlawanan namun tersasar.

Dua minit selepas itu, Hafiz Kamal dilayangkan kad kuning.

Pada minit ke-40 Conti menggandakan jaringan untuk Pahang sekali lagi melalui hantaran Amirulhadi yang menerima hantaran Gopinathan dari kiri.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan agregat menyebelahi Pahang 2-1.

Harimau Selatan mula garang pada babak kedua dengan berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-48 sumbangan Andrezinho selepas kesilapan hantaran dilakukan oleh Gopinathan.

Dengan agregat 2-2 kelebihan kepada Darul Takzim yang menjaringkan gol di tempat lawan, Pahang tampil lebih agresif dengan percubaan bertubi-tubi untuk menambah jaringan.

Pada minit ke-60, Nurul Azwan Roya dilayangkan kad kuning kerana mengasari Azamuddin Akil.

Lapan minit kemudian Dollah Salleh melakukan perubahan pertama dan kedua dalam pasukan apabila beliau menggantikan Amirulhadi dengan Azidan Sarudin dan Saifulnizam masuk menggantikan Jallaludin.

Tok Gajah terus cuba untuk mendapatkan jaringan namun terus dinafikan oleh benteng pertahanan Darul Takzim.

Pada minit ke-91 Fandi Ahmad melakukan pertukaran terkahir apabila Safee Sali masuk menggantikan Nunez.

Keputusan kekal pada masa penamat namun kelebihan gol di tempat lawan membawa Darul Takzim ke perlawanan akhir Piala FA dimana mereka akan bertemu Kelantan pada 29 Jun ini.

Foto: Radi Mohamad/MyCornerflag.my



comments powered by Disqus

Berita Paling Popular

Perkembangan Lain